Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga kini masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat Pfizer untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19.

KKM juga tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin tersebut sebagaimana yang dilaporkan.

Bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini.

”Adalah menjadi tanggungjawab NPRA, KKM untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftarkan untuk dipasarkan di Malaysia, ia perlu terlebih dahulu melalui proses penilaian dan pengujian berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan juga keberkesanan,” kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media asing yang melaporkan Pfizer berdepan dengan cabaran untuk menghasilkan 100 juta dos vaksin tahun ini.

Dalam satu kenyataan kepada Reuters, Pfizer menjangka syarikat itu mampu menghasilkan 50 juta dos vaksin Covid-19 sahaja pada tahun ini.

Vaksin Pfizer pula bergantung pada dua dos – bermaksud 50 juta dos sekadar untuk diambil oleh 25 juta orang.

Menurutnya, NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai vaksin kepada orang ramai dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette