PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pernah berjanji memberikan kereta, rumah dan menyara keluarga Wani sebagai balasan menjadi duta produk kurus keluarannya.
Malah Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman, perkara tersebut tidak pernah dinyatakan dalam kontrak yang telah ditandatangani oleh Wani sebelum ini.
“Kami tidak pernah menjanjikan ‘bulan dan bintang’ sebelum ini pun saya pernah ambil duta lain. Saya sama sekali tidak pernah cakap mahu bagi kereta, rumah. Dia bukan isteri saya, bukan ibu bapa saya daripada saya bagi dia kaya, bagi saya saya kayakan GM (General Manager) saya yang telah bertahun-tahun kerja dengan saya,” katanya ketika sidang media di kediamannya hari ini.
Pengasas D’Herbs itu berkata, tuntutan yang dibuat oleh Wani baru-baru ini menerusi sidang media didakwa didalangi oleh pihak tertentu yang mahu melakukan provokasi termasuklah beberapa orang bekas pekerjanya sendiri yang tidak berpuas hati dan ingin menjatuhkannya.
Justeru demi mempertahankan diri, Aliff bersedia berhadapan dengan saman dan akan menggunakan mahkamah sebagai platform menegakkan keadilan.
“Kalau isu ini tidak melibatkan saya, saya rasa tidak jadi begini. Sebelum ini saya pernah ambil Erra Fazira, Wany Hasrita sebagai duta tidak ada pula muncul masalah seperti ini.
“Kepada rakyat Malaysia selepas ini berbagai lagi provokasi yang akan dibuat oleh pihak sebelah sana, iaitu bekas pekerja saya sendiri tujuan untuk menaikkan populariti dan saya tidak tahu apa lagi yang mereka mahukan.
“Tetapi adik Wani, terima kasih. Saya nak beritahu kepada pihak yang nak jatuhkan saya dengan kes Wani saya mengalu-alukan saman anda, saya tunggu saman anda dan kita tengok siapakah yang akan disaman. Kalau betul saya janji nak beri kereta, rumah, lawanlah di mahkamah.
“Dan tuntutan yang dibuat bernilai ratusan ribu saya tidak takut dan gentar kita lawan di mahkamah kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan. kalau saya salah biar hakim memutuskan,” tambahnya.
Mengulas lanjut Aliff juga menegaskan tidak pernah meletakkan jumlah tertentu dalam kontrak bayaran kepada Wani setiap bulan.
“Dekat situ tertulis atas ihsan saya bergantung kepada saya dan saya layak memberi atau tidak. Saya sudah tulis di situ,” katanya.
Aliff selain itu meluahkan kekesalannya terhadap Wani yang sebelum ini mengalami berat badan yang melampau, mencecah hampir 300 kilogram (kg) namun pada akhirnya berjaya kehilangan 100 kg selepas bantuannya.
Beliau turut berkata, bukan sekadar membiayai pembedahan bariatrik, Aliff turut menampung kos terapi bersama-sama pelatih peribadi untuk membantunya berjalan semula.
Dalam pada itu, penganalisis jenayah, Kamal Affendi yang turut hadir pada sidang media itu mendedahkan wujud unsur yang mencurigakan apabila wakil Wani yang dikenali sebagai ‘Encik Shah’ membuat dakwaan yang dilihatnya bercanggah dengan situasi sebenar.
Situasi sebenar dilihatnya sendiri apabila menuntut Aliff menunjukkan bukti selepas timbul rasa minat melihat kes yang sama.
Lebih mengejutkan Kamal selaku orang tengah yang ingin mendamaikan Aliff dengan Wani telah memaklumkan wakil gadis berkenaan bahawa usahawan kosmetik itu bersedia untuk memenuhi tuntutannya melepaskan diri dari kontrak.
Apa yang berlaku adalah sebaliknya, katanya lagi sidang media pada 4 Disember baru-baru ini bercanggah dengan apa yang telah dipersetujui.
“Saya sendiri bertanyakan dengan Aliff melihat sendiri bukti, selepas itu saya bertemu dengan Shah dan berbincang, dia memaklumkan Wani mahu dilepaskan dari kontrak dan perkara itu telah pun disetujui,” tambahnya.
Beliau tidak menolak Wani dieksploitasi oleh pihak tertentu yang mahu menjatuhkan usahawan kosmetik ini.
Turut hadir ketika sidang media adalah peguam mewakili Aliff iaitu Hasshahari Johari Mawi.
Hasshahari berkata, pihaknya telah bersedia untuk berhadapan dengan tuntutan saman yang akan dihadapi oleh Aliff.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: