Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Seramai 6.4 juta atau 19.7 peratus daripada penduduk di negara ini sudah menunaikan tanggungjawab melaksanakan bancian secara dalam talian setakat Ahad lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin jumlah terus meningkat, sebelum e-Census ditutup pada 21 Disember ini.

“Pencapaian ini dijangka meningkat 1.34 juta orang selepas 334,224 isi rumah yang mendaftar melengkapkan butiran mereka dalam e-Census Banci 2020.

“Peratusan respons penduduk seluruh negara yang terbaik adalah di Putrajaya iaitu sebanyak 79.9 peratus, diikuti Perak (28.9 peratus), Johor (28 peratus) dan Pulau Pinang (25.6 peratus),” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, seramai 2.6 juta penduduk di negara ini sudah melengkapkan bancian kendiri secara dalam talian atau e-Census bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat 30 September lalu.

Jumlah itu terus bertambah apabila kebanyakan negeri mencapai lebih 10 peratus di peringkat negeri. – MalaysiaGazette