Logo Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat memproses minuman yang terletak di kawasan Bandar Pinggiran Subang dekat sini kerugian RM45,000 apabila produk keluarannya disita oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan sekitar 11.45 pagi selepas didapati syarikat tersebut masih menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah dibatalkan.

“Maklumat awal berdasarkan pemantauan KPDNHEP sejak sebulan lepas mendapati syarikat berkenaan masih menggunakan logo halal JAKIM yang dibatalkan atas alasan premis tersebut gagal mematuhi standard pemegang sijil halal yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Antara kegagalan syarikat tersebut ialah keadaan premis yang kotor dan bahan mentah diletakkan di atas lantai kilang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, ketika serbuan, pasukannya telah menemukan sejumlah 830 botol minuman kordial menggunakan logo halal JAKIM yang telah dibatalkan penggunaannya.

“Turut ditemukan ialah sejumlah 4,100 kotak pembungkus dan hampir 700 gulung pelekat atau label produk yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaan oleh JAIS.

Muhamad Zikril Azan berkata, pasukannya juga telah menemui wakil syarikat tersebut dan dikatakan premis itu telah membuat permohonan rayuan ke atas penarikan sijil halal berkenaan.

Namun, beliau berkata permohonan itu ditolak oleh JAIS berikutan terdapat teguran-teguran yang gagal diambil tindakan sewajarnya oleh syarikat itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa nama syarikat tu woiii.. Jgn bersubahat boleh x.. Orng Islam wajib tahu produk yg mana tu yg haram diminum… Tolong dedahkan nama syarikat dn brand kordial tu

Comments are closed.