Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sistem agihan bekalan air tidak stabil sehingga mengakibatkan penyusutan air mendadak di tangki-tangki kawasan perumahan.

Air Selangor berkata, situasi itu diketahui selepas kejadian henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang malam tadi akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Walau bagaimanapun Air Selangor menjangkakan bekalan 861 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Langat akan kembali normal bermula 3 petang ini.

“Berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dalam tempoh lima jam disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor pagi tadi, Air Selangor mendapati sistem agihan bekalan air berada dalam keadaan tidak stabil, yang mana kebanyakan tangki-tangki air di kawasan perumahan mengalami penyusutan yang mendadak pada pagi ini.

“Sebanyak 861 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Langat akan mengalami tekanan air rendah dan bekalan air tidak stabil,” kata Air Selangor menerusi kenyataan.

Terdahulu Loji Rawatan Air Rantau Panjang dihenti tugas semalam beserta Loji Rawatan Air Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 pada 1.00 berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Namun LRA kembali beroperasi pada 3.30 pagi tadi selepas bacaan kembali 0 ton.-MalaysiaGazette