BEBERAPA hari yang lalu seluruh dunia meraikan Hari Sukarelawan Antarabangsa atau lebih tepat lagi pada 5 Disember setiap tahun. Semuanya bermula pada 17 Disember 1985 apabila Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan resolusi 40/212 yang telah menetapkan dan mengisytiharkan 5 Disember setiap tahun disambut sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer Day). Hari Sukarelawan Antarabangsa ini disambut sebagai mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh semua sukarelawan dalam menjayakan pelbagai program dan bantuan kemasyarakatan di seluruh dunia
Hari Sukarelawan Antarabangsa telah memberi peluang kepada sukarelawan, masyarakat umum, pihak kerajaan dan agensi kerajaan serta pihak swasta bekerjasama bagi mencapai sesuatu tujuan berasaskan semangat kesukarelaan. Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa ini membolehkan semua negara mempromosikan sikap tanggungjawab, disiplin, semangat kerjasama, cinta negara dan sifat prihatin rakyat mereka kepada dunia. Kita boleh melihat masyarakat yang berada di sekeliling kita, sememangnya wujud insan-insan yang begitu sebati hidupnya dengan aktiviti kesukarelawanan. Ada yang tidak pernah lelah menghulur tangan dalam pelbagai bentuk misi kemanusiaan, berjuang untuk pemiliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, tekun mendidik anak bangsa untuk menghargai warisan budaya serta ada kumpulan yang bahagia menyebarkan kasih-sayang tanpa dibataskan pada kaum dan agama dengan pelbagai cara.
Ini adalah sekadar contoh kecil lapangan kesukarelawanan yang biasa kita lihat, tetapi sebenarnya bidang kesukarelawanan ini besar dan pelbagai kerana ada yang bergerak secara individu atau berkumpulan melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan. Semasa kita berjuang melawan Covid-19 ini, terserlah sikap kesukarelawanan rakyat Malaysia seperti membantu barisan hadapan dengan menyediakan alat pelindungan diri (PPE), makanan dan minuman serta lain-lain bantuan lagi dihulurkan sepanjang waktu. Meskipun metodologi kesukarelawanan itu wujud dalam pelbagai bentuk tetapi ia tetap bertunjangkan kepada ‘akar’ yang sama bagi penulis iaitu insan-insan hebat ini menghulurkan tangan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan mahupun sanjungan.
Di dalam Islam, setiap amal kebajikan walaupun kecil hingga diandaikan sebesar zarah sekalipun tetap diberi ganjaran oleh Allah SWT di akhirat kelak seperti dalam firman-Nya dalam surah Al-Zalzalah, ayat 7-8 yang bermaksud “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia kan melihat (balasan)nya pula”.
Memberi pendedahan mengenai kesukarelawanan sejak usia yang masih muda amat penting dan elemen kesukarelawanan ini merupakan salah-satu satu aspek pendidikan luar bilik kuliah yang diberi perhatian di institusi pengajian tinggi. Pemikiran baharu perlu ditanam bahawa keberadaan mahasiswa di universiti jangan dijumudkan pada tujuan menuntut ilmu melalui sesi pengkuliahan, menghadam setiap helaian buku rujukan dan nota pensyarah dan kemudiannya menamatkan pengajian dengan sekeping ijazah. Universiti peranannya lebih besar dari itu, ia adalah sebuah ‘kampus kehidupan’ yang mendidik generasi muda yang terpelajar lebih dari nilaian akademik semata-mata.
Di universiti dapat dilihat amat subur dengan program berbentuk kesukarelawanan termasuk di universiti penulis berkhidmat dan ini satu petanda positif kerana melalui aktiviti seperti ini, ia membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa yang kebanyakan masanya hanya berada di dalam kampus di bawa menjejakkan kaki ke ‘dunia luar’. Mahasiswa dapat melihat, merasa dan memahami pelbagai isu, cabaran serta masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat di luar sana. Kita tidak mahu mahasiswa yang lahir dari institusi pendidikan tinggi adalah golongan yang tidak punyai ‘jiwa’, kaku bila berada dalam kelompok masyarakat dan bersikap mementingkan diri sendiri.
Pandemik Covid-19 seperti kita sedia maklum mewujudkan norma baharu dalam kehidupan seharian termasuk suasana di universiti. Ketika ini sebahagian besar kampus masih sepi dari kehadiran mahasiswa, mereka mengikuti pembelajaran dan pengajaran secara atas talian di kampung halaman masing-masing. Tanpa keberadaan mahasiswa di kampus, dapat dilihat pelbagai program seperti kesukarelawanan agak perlahan atau berlaku dalam skala kecil pelaksanaannya. Tetapi ia tidak bermakna semangat kesukarelawan mahasiswa kita akan mati kerana penulis meyakini siswa kita juga sebenarnya rindu dan tidak sabar untuk kembali dan turun padang bersama masyarakat melaksanakan pelbagai program berimpak apabila pandemik ini semakin reda. Universiti adalah ladang menyemai benih-benih sukarelawan.
Mohd Zaini Othman
Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)