Kamarudin Jaafar

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar daripada 2,742 rakyat Malaysia yang ditahan dan dikenakan hukuman penjara di luar negara kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, selain dadah ramai dalam kalangan pesalah turut terlibat dengan kegiatan penipuan.

“Kesalahan dadah melibatkan separuh dari jumlah itu iaitu 1,434, yang kedua ialah kes-kes penipuan berjumlah 406 orang, kes kad kredit palsu melibatkan 132, keempat kesalahan kastam 89 orang ditahan dan kesalahan imigresesn melibatkan 66 orang.

“Berkaitan hukuman mati dan penjara seumur hidup, setakat maklumat saya ada, tiada statistik tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Kamarudin menjawab soalan Ahli Parlimen (GPS-Serian), Datuk Richard Riot Jaem berhubung jenis-jenis kesalahan dilakukan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di seluruh dunia dan jumlah mereka yang dipenjarakan seumur hidup dan dihukum gantung sampai mati.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Richard tentang usaha Wisma Putra bagi membantu mereka yang dipenjarakan di luar negara, Kamarudin berkata, wakil-wakil Malaysia di luar negara  berperanan untuk menghulurkan bantuan selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai hubungan konsular 1963.

Tambahnya, bantuan konsular termaktub di bawah akta itu dan mereka akan memaklumkan penahanan warganegara kepada pihak keluarga atau waris serta memastikan kebajikan dan keselamatan, di samping kesihatan tahanan sentiasa terpelihara.

“Perwakilan Malaysia juga boleh membantu mengemukakan firma guaman tempatan untuk dilantik oleh tahanan atau waris jika diperlukan setelah tahanan selesai menjalani hukuman mereka.

“Perwakilan Malaysia akan menguruskan proses dokumentasi termasuk mengeluarkan sijil perakuan cemas sekiranya diperlukan sebagai dokumen perjalanan sementara untuk pulang ke Malaysia,” jelas beliau. – MalaysiaGazette