Pekerja warga asing dari Kumpulan Syarikat Kossan menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan penularan wabak Covid-19 di Meru, Klang. foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Selangor kekal mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 277 kes daripada 959 kes yang direkodkan pada hari ini diikuti Sabah sebanyak 203 kes.

Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini meningkat kepada 76,265 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 10,748 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 953 kes.

Katanya, sebanyak 1,068 kes sembuh direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 65,124 kes.

Menurut Dr. Noor Hisham, terdapat 127 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima kematian direkodkan pada hari ini. – MalaysiaGazette