Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tiga lokaliti dalam mukim Bentong, Pahang akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai esok yang melibatkan Apartmen Amber Court, Apartmen Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas hari ini mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan peningkatan kes positif Covid-19 di ketiga-tiga lokaliti itu.

“Penilaian risiko KKM mendapati ketiga-tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Amber Court Apartment, RIA
Apartment dan Rumah Kongsi Kg Semaut bermula esok sehingga 23 Disember ini,” katanya sambil menambah ia melibatkan 4,351 orang penduduk.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu bagi membolehkan KKM mengesan dan membuat saringan bersasar kepada kontak rapat serta menyekat penularan virus itu dalam komuniti.

Tambah beliau, KKM telah melaksanakan saringan bermula 6 Disember 2020 dan sehingga 8 Disember 2020 dan sebanyak 55 kes positif Covid-19 telah direkodkan di mukim Bentong yang mana majoritinya melibatkan pekerja warganegara asing.

“Penilaian risiko KKM mendapati ketiga-tiga lokaliti ini mempunyai risiko tinggi untuk berlaku penularan lebih ramai kerana kapasiti penduduk yang padat,” ujarnya. – MalaysiaGazette