Lim Ban Hong

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan untuk merancakkan proses peralihan kepada revolusi industri 4.0 (IR4.0) tidak akan menyebabkan kadar pengangguran di negara ini semakin meningkat.

Sebaliknya, IR4.0 yang menyaksikan pelbagai teknologi baharu digunakan di segenap industri penting negara akan menyuntik kesan positif, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk meneroka bidang baharu yang menjana pekerjaan dan kebanyakan usaha tersebut terkandung dalam Belanjawan 2021.

“Dalam usaha kita merintis hala tuju pembangunan untuk mendapatkan pelaburan berteknologi tinggi, pekerja dalam bidang ini akan ada pendapatan tinggi.

“IR4.0 akan beri peluang kepada kita, melahirkan generasi pekerja baharu yang boleh menggunakan pelbagai aplikasi teknologi, sekali gus menambah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Kalau dulu, industri buruh, tenaga dan kerja kita lebih bergantung kepada tenaga buruh asing, IR4.0 akan menyaksikan perubahan dalam aspek berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ban Hong menjawab soalan Ahli Parlimen (BN-Jempol), Datuk Mohd Salim Sharif yang ingin tahu usaha kerajaan meneroka bidang baharu pekerjaan seiring dengan perkembangan semasa pandemik Covid-19 dan IR4.0 sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

Katanya lagi, dalam situasi pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada sektor ekonomi, penggunaan dan adaptasi teknologi industri 4.0 menjadi penting bagi memastikan kesinambungan dan penambahbaikan perniagaan terutamanya dalam pemulihan perniagaan, penstrukturan semula rantaian bekalan serta membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kembali berdaya saing.

Ujarnya, peralihan kepada industri 4.0 akan meningkatkan permintaan terhadap kumpulan sumber tenaga berkemahiran tinggi yang berteraskan teknologi industri 4.0 di mana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.

Ini seterusnya kan mengurangkan kebergantungan industri terhadap bidang pekerjaan berkemahiran rendah yang kebanyakkannya terdiri daripada tenaga buruh asing. – MalaysiaGazette