KUALA LUMPUR – Lima usul yang dikemukakan pembangkang untuk menolak jabatan baharu bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia iaitu, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) gagal meyakinkan Ahli Parlimen yang bersidang hari ini.
Usul yang dibawa oleh Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Ahmad Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Fuziah Saleh (Kuantan) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) mendakwa selain membazir duit rakyat, fungsinya adalah sebagai alat propaganda kerajaan.
Maria Chin misalnya memberitahu dalam KKMM sendiri sudah ada Jabatan Penerangan Negeri (Japen) dan tidak perlu ditubuhkan jabatan baharu dengan peruntukan yang dianggap tidak munasabah, berjumlah RM85 juta.
Katanya, peranan Japen sendiri sudah cukup untuk memberi penerangan komunikasi kepada masyarakat terutama di luar bandar.
“Jabatan ini juga mempunyai peralatan komunikasi yang lengkap, dengan kakitangan lebih 1,000 orang yang ditempatkan di 195 daerah dengan tugasan menyampaikan penerangan kepada masyarakat,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi KKMM di Parlimen hari ini.
Fuziah pula berkata, sungguhpun KKMM membuat pindaan potongan separuh dari peruntukan itu, tidak ada justifikasi pun jabatan baharu berkenaan dihidupkan semula, walaupun dijenamakan dengan nama J-Kom.
“Sebelum ini, bawah Japen sudah ada Komuniti 1Malaysia, dan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, kita ada Komuniti Harapan, Komuniti Bestari dan Komuniti Prihatin.
“Semua komuniti ini ia diletakkan bawah Japen, kenapa perlu diwujudkan satu lagi kalau ianya bukan untuk menjalankan propaganda politik kerajaan,” kata beliau.
Sementara itu, usul berkenaan dihujah oleh lima ahli Parlimen dari kerajaan yang masing-masing memberi pendapat betapa perlunya Jasa atau dengan nama baharu, J-Kom dihidupkan semula.
Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) berpendapat, Dewan Rakyat harus bersetuju dengan penubuhan jabatan itu kerana niat kerajaan adalah baik untuk memberi pengetahuan kepada rakyat.
“Kalau pembangkang dakwa J-Kom ini bekerja untuk kerajaan dan alat propaganda kerajaan, itu tidak betul.
“Buat propaganda apa sekalipun, kalau rakyat kata tak nak, mereka tolak juga kerajaan. Jadi, pembangkang jangan bimbang, rakyat tidak bodoh. Rakyat cerdik,” katanya.
Beliau juga berkata, tidak munasabah peruntukan dari semua kementerian termasuk KKMM disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk menangani pandemik Covid-19.
Katanya, cadangan pembangkang itu lebih kepada menyusahkan kerajaan, kerana kementerian dan jabatan lain juga perlu meneruskan tanggungjawab masing-masing dan mereka juga memerlukan peruntukan yang cukup.
Bagaimanapun, di akhir penggulungan perbahasan itu oleh Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah, majoriti Ahli Dewan Rakyat menyokong peruntukan J-Kom dikurangkan kepada RM40 juta dari RM85 juta yang diperuntukan sebelum ini.
Usul pengurangan peruntukan itu dipersetujui dengan suara majoriti, tanpa ada ahli Parlimen pembangkang bangun untuk meminta diadakan undian belah bahagi. – MalaysiaGazette
Time ni lh nk gasak duit rakyat pon…mmg mmbzir