KUALA LUMPUR – Affin Bank Berhad (Affin Bank) memperkenalkan AFFINMAX, sebuah platform Perbankan Internet Korporat yang baharu bagi pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat.

AFFINMAX dilengkapi dengan perlindungan sekuriti yang menyeluruh, mudah digunakan dan menawarkan para pelanggan akses bagi pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan bank, yang merangkumi pengurusan tunai, pembiayaan perdagangan, serta produk perbankan runcit dan PKS.

Pelanggan PKS atau korporat yang mendaftar untuk AFFINMAX akan ditawarkan penyelesaian perbankan yang menyeluruh seperti berikut;

• AFFINWRKFZ – penyelesaian pengurusan perniagaan dan tenaga kerja yang komprehensif bagi menangani persaingan dan cabaran
• AFFIN360 – penyelesaian pembayaran gaji yang merangkumi pampasan perniagaan serta perancangan manfaat untuk tenaga kerja.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, AFFINMAX dilengkapi dengan penyelesaian pengurusan tunai yang menyeluruh serta digabungkan dengan modul Rantaian Bekalan Kewangan (FSC) dan Sistem Pengurusan Mudah Tunai (LMS).

Integrasi ini membolehkan para pelanggan menggunakan pelbagai penyelesaian perbankan dalam satu platform untuk menjalankan operasi perniagaan mereka.

Menurutnya, FSC adalah penyelesaian pembiayaan untuk memproses transaksi perdagangan antara Pembeli dan Pembekal dengan lebih efisien.

Para pelanggan yang diberikan modul FSC akan dapat memantau transaksi melibatkan penghutang atau pemiutang mereka, serta kemas kini masa nyata transaksi.

Selain FSC, Sistem Pengurusan Mudah Tunai (LMS) pula berfungsi untuk membantu pelanggan dalam mengurus dan memindahkan dana perniagaan dari satu akaun ke akaun lain untuk pengurusan aliran tunai yang efisien bagi transaksi perdagangan, aktiviti harian operasi perniagaan serta transaksi perniagaan lain.

Selain itu, AFFIN BANK juga memperkenalkan Aplikasi Mudah Alih AFFINMAX yang direka untuk membantu para pelanggan PKS dan korporat dalam melakukan transaksi perniagaan mereka di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa.

Aplikasi ini membolehkan para pelanggan mempunyai kawalan penuh dan pengurusan kewangan perniagaan mereka secara komprehensif – daripada segi memantau aliran tunai, menguruskan pembayaran gaji, serta kemudahan melaksanakan transaksi perdagangan dengan menggunakan perkhidmatan ‘eTrade’ yang terdapat dalam platform AFFINMAX. – MalaysiaGazette