Bersatu
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin tertekan dan khuatir dengan kedudukan mereka dalam arena politik.

Justeru itu menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeneri Amir, keadaan itu menyebabkan timbul gesaan supaya Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadakan satu gagasan besar.

“Cadangan ini hanya untuk menyelamatkan kedudukan Bersatu yang kini tertekan dan kini mengharapkan parti lain untuk menyelamatkan dan mengekalkan kuasa mereka.

“Yang lebih bergantung adalah Bersatu kepada UMNO untuk berkuasa dan memenangi pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut gesaan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini yang berpendirian gagasan besar itu akan memberikan keyakinan kepada rakyat negara ini yang mahu melihat kestabilan politik.

Dalam pada itu Jeneri yang juga Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tidak menolak pembentukan gagasan besar merupakan jalan terbaik untuk menamatkan krisis politik yang sedang berlaku khususnya antara UMNO dan Bersatu.

Namun beliau yakin ianya tidak akan menjadi realiti.

Lebih-lebih lagi jelasnya UMNO kini dilihat sudah mula mengorak langkah untuk menjadi sebuah entiti parti politik yang dominan dan berasingan.

Parti itu katanya lagi akan menjadi lebih kuat sekiranya dapat meneruskan kerjasama dengan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang ditambah pula dengan sokongan daropada parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“Itu memang jalan terbaik tetapi saya tidak yakin bahawa saranan itu akan menjadi realiti. BN dan UMNO mereka mahu berdiri sebagai entiti politik berasingan kerana mereka dominan, BN lebih yakin dengan kedudukan mereka sebagai satu gabungan.

“Kalau di antara UMNO dan Pas kerjasama mereka berjaya tidak mustahil mereka boleh menang sekitar 30 kerusi Parlimen pada PRU akan datang,” tambahnya.

Jeneri juga dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan parti-parti di Sabah dan Sarawak tidak mahu bergabung di bawah sebuah gagasan yang besar kerana mereka enggan dikawal.

“Parti lain di Sabah dan Sarawak tidak berada di gabungan dan mahu akan jadi entiti parti politik independent. Kerana mereka dapat bersuara dan menentukan hala tuju mereka sebagai entiti politik yang berkecuali tanpa perlu akur kepada keputusan peringkat nasional.

“Apa-apa berlaku di peringkat nasional parti di Sabah dan Sarawak boleh membuat keputusan untuk kepentingan nergeri dan tidak perlu tunduk keputusan kuasa pusat.

“Dengan kata lain berada di luar gabungan lebih menguntungkan daripada di dalam gabungan kerana mempunyai kebebasan bersuara dan kuasa,”katanya lagi.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bersatu cadang gagasan besar 3 gabungan parti

2 Komen

Comments are closed.