KOTA TINGGI – Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu yang dikhuatiri lemas di Tanjung Balau di sini semalam tergelincir dari jeti ketika hendak mengambil selipar yang terjatuh.
Ketua Bersatu Pengerang, Mohd Faizal Asmar berkata, Mohd Zulfikrie Buang tergelincir dan ditarik ombak dalam kejadian yang berlaku ketika hujan lebat.
“Rakan yang bersama Mohd Zulfikrie, memaklumkan beliau mahu mengambil seliparnya yang terjatuh ke laut ketika melakukan kerja membaiki Jeti Tanjung Balau.
“Rakannya sudah menasihatkan jangan turun kerana hujan lebat, namun Mohd Zulfikrie yang berada di perancah atau kerangka besi tiba-tiba tergelincir jatuh ke dalam laut. Kejadian berlaku sangat pantas.
“Rakannya berusaha menyelamatkannya, namun tidak berjaya kerana ombak kuat sebelum beliau hilang daripada pandangan, ” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Kata Mohd Faizal, beliau mengenali Mohd Zulfikrie beberapa tahun lalu dan aktif dalam kerja kemasyarakatan di daerah itu.
Katanya, kali terakhir mereka bertemu minggu lalu ketika mesyuarat Bersatu Johor di sebuah hotel di Johor Bahru dan sempat berbual mengenai aktiviti yang akan dijalankan bersama.
Mohd Zulfikrie memegang jawatan Naib Ketua ARMADA Kota Tinggi sejak Oktober lalu dan merupakan seorang yang ceria serta rajin membantu.
“Kira-kira 100 anggota Bersatu Kota Tinggi dan Pengerang hadir ke lokasi Jeti Tanjung Balau untuk melihat operasi mencari dan menyelamat.
“Kami berdoa supaya segala-galanya dipermudahkan dan semoga ada keajaiban berlaku,” katanya.
Beliau berkata, keluarga Mohd Zulfikrie kini masih dalam keadaan terkejut dan meminta mereka diberi ruang berhadapan insiden berkenaan. – MalaysiaGazette