Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Kedah perlu melobi kerajaan Pusat bagi menggubal peraturan mewajibkan Pulau Pinang membayar pampasan bekalan air.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kerajaan negeri juga perlu terus menuntut pampasan tahunan ataupun royalti padi daripada kerajaan Pusat akibat kehilangan pendapatan kerana mengekalkan kawasan tadahan hujan di Hulu Muda.

“Royalti itu harus terus diperjuangkan atas dasar mempertahankan tanah sawah dan food security memastikan bekalan beras negara mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Mohd Johan Rizal, ‘pengorbanan dan kehilangan pendapatan’ kepada Kedah bagi memastikan keselamatan bekalan air kepada negeri jiran itu.

“Tuntutan bayaran pampasan air oleh Kedah kepada Pulau Pinang bukan perkara baru. Ia telah berlarutan puluhan tahun, melangkui beberapa orang Menteri Besar di Kedah dan beberapa orang Ketua Menteri di Pulau Pinang.

“Setiap kali kerajaan Kedah berubah pucuk pimpinan isu berkenaan bangkit semula tetapi tiada juga penyelesaian. Satu pihak meminta bayaran sementara satu pihak tidak mengendahkan tuntutan itu atas alasan mereka adalah negeri riparian iaitu negeri laluan sungai,” katanya.

Namun menurutnya, melihat situasi semasa faedah yang dinikmati Pulau Pinang adalah lebih daripada munasabah memperoleh sumber air mentah secara percuma, merawat air dan menjual sumber ini untuk kegunaan seluruh rakyat Pulau Pinang dan kerajaan memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Manakala Kedah terpaksa berkorban tidak boleh melakukan pembangunan dan pembalakan di dataran hulu sungai muda demi manafaat rakyat Pulau Pinang tanpa apa apa hasil kepada kerajaan negeri, katanya.

“Kaedah tuntutan itu masih sama sejak puluhan tahun dahulu, tetapi setiap kali tuntutan dibuat kerajaan Kedah mengharapkan keputusan yang berbeza.

“Realitinya, pendekatan itu dilihat sudah tidak akan berkesan melihat reaksi kerajaan Pulau Pinang yang sememangnya tidak mahu membayar.

“Tuntutan hanya meraih faedah reputasi politik kerana menampakkan kita bertegas mempertahankan hak tetapi tidak dinamik dalam situasi semasa iaitu perbezaan politik antara kerajaan Kedah dan Pulau Pinang.

“Oleh itu kerajaan negeri Kedah perlu inovatif dalam tuntutan mereka jikalau mengharapkan keputusan yang berbeza. Kaedah menuntut dan terus menuntut tidak akan membuahkan hasil lagi,” ujarnya.

Menurut beliau, sudah lama negeri Kedh berkorban dan sudah banyak kerugian pendapatan hanya bagi memastikan Pulau Pinang terus membuat keuntungan hasil bekalan air mentah dari Kedah.

Dalam pada itu, katanya, mengambil peluang pegangan politik yang selari antara Kerajaan Kedah dan Persekutuan, ini adalah masa terbaik mengusulkan kewujudkan peraturan sebegitu.

Lagi pun, katanya, wujudnya peraturan “cukai bekalan air mentah” itu turut menguntungkan negeri lain sekiranya mereka berhadapan situasi sama seperti Kedah dan Pulau Pinang.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.