Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas hari ini menafikan parti itu derhaka kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selepas membatalkan rancangan mengadap baginda di Istana Kinta, Ipoh pada Selasa.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu itu tidak timbul kerana sesuatu kemelut politik harus dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya sesuatu juzuk untuk membuat penilaian.

“Maka kita yakin mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat.

“Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan.

“Apapun dengan kesabaran semua pihak dan jiwa besar akhirnya ia berjaya diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi menyatakan pendirian Pas berhubung kemelut pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas meletakkan sepenuh kepercayaan kepada budi bicara Sultan Nazrin Shah samada akan melantik Exco kerajaan negeri berkenaan daripada Pas atau pun tidak.

“Pas melihat isu yang paling utama selesai hasil muafakat bersama. Soal ADUN Pas dilantik sebagai Exco atau tidak adalah hak Tuanku Sultan Perak.

“Pas akur apa sahaja yang baik pada pandangan Tuanku kerana yakin kesetabilan kerajaan adalah keutamaan Tuanku,” katanya lagi.

Sebelum ini Menteri Besar Perak yang baharu, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelantikan Exco daripada Pas dalam kerajaan negeri bergantung kepada perkenan Sultan Nazrin.

Media semalam melaporkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada UMNO dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), di Istana Iskandariah.

ADUN yang mengangkat sumpah jawatan Exco adalah ADUN Sungai Manik yang juga Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Empat ADUN UMNO ialah ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Dalam pada itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah diperkenankan untuk menghadap Sultan Nazrin.

Istana Perak hari ini mengesahkan sudah menerima surat permohonan Hadi untuk menghadap Sultan Nazrin.

Perkara itu disahkan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini bagaimanapun tidak menyatakan tarikh beliau menghadap baginda. – MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan. “Pas melihat isu yang paling utama selesai hasil muafakat bersama. alhamdulillah ALLAHUAKBAR

Comments are closed.