KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperuntukkan kira-kira RM1.25 juta bantuan pelan data dan peranti bagi membantu pelajar prasiswazah dalam golongan B40 menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan lebih lancar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Chm. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memberitahu, peruntukkan tersebut melibatkan RM255,420.00 Bantuan Pelan Data yang bakal memanfaatkan 1,928
pelajar.

Sementara itu, UMS turut memperuntukkan RM1 juta bagi bantuan komputer riba kepada 714 pelajar B40 yang layak.

Jumlah itu merangkumi 619 pelajar dari Sabah, 37 pelajar
Sarawak, dan 58 pelajar dari Semenanjung Malaysia.

Untuk rekod peruntukan itu diperoleh daripada Tabung Amanah Kebajikan Pelajar UMS.

“Bagi bantuan pelan data, pelajar telah menerima bantuan secara berperingkat bermula 8 Disember lalu.

“Bantuan ini merupakan antara enam inisiatif di bawah UMS Prihatin kepada semua pelajar UMS melalui Jabatan Hal Ehwal sebagai komitmen pihak UMS dalam menitikberatkan soal kebajikan pelajar,” katanya.

Dr. Taufiq Yap Yun Hin

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian
Penyerahan pelan data dan komputer riba bagi tahun 2020 yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMS merangkap pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pelajar, Datin Hajah Nurlaila Said.

Menurut Taufiq, bagi komputer riba, pelajar terpilih akan menerima sebuah komputer riba berjumlah RM1,400 yang akan diserahkan terus kepada pelajar melalui prinsipal selepas pelajar melengkapkan borang setuju terima dan surat perjanjian.

Taufiq menambah, selain itu UMS turut telah membelanjakan RM20,000 bagi bantuan Food Bank kepada pelajar.

Inisiatif ini turut mendapat sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan strategik UMS.

Faedah lain yang diterima berupa pengecualian yuran kolej kediaman dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1,991,592 melibatkan 8,792 pelajar.

Selain itu melalui inisiatif UMS Prihatin, pelajar menerima RM51 pemulangan yuran pengajian bagi Semester 1, sesi Akademik 2020/2021.

“Saya berharap agar bantuan yang diberikan serba sedikit dapat meringankan beban yang benar-benar memerlukan,” ujar Taufiq. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast