Operasi pematuhan yang diketuai melakukan pemeriksaan di kedai makan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seramai 241 individu atas kesalahan mengingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.

Tangkapan itu dilaksanakan pada semalam dalam operasi pematuhan oleh pasukan khas Covid-19 kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, seramai 202 individu telah dikenakan tindakan dikompaun, katanya.

“Manakala 39 lagi individu relah direman polis untuk membantu siasatan bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan mereka adalah seramai 78 premis gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka (77 orang), 43 kesalahan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, aktiviti pusat hiburan (41) dan dua kesalahan lain.

Tambah Ismail Sabri, Pasukan Khas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 50,258 pemeriksaan pada hari semalam bagi memantau dan
menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,837 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,888 anggota telah membuat pemantauan serta pemeriksaan di 3,566 pasar raya, 4,996 restoran serta 1,860 penjaja. Pemeriksaan juga diteruskan di 1,179 buah kilang perindustrian, 3,557 bank dan 630 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,083 terminal pengangkutan darat, 290 terminal pengangkutan air serta 101 terminal pengangkutan udara bagi memastikan kesmeua pihak tidak mengingkar arahan PKP yang ditetapkan kerajaan dalam melandaikan penularan Covid-19 dalam negara,” tegasnya.-MalaysiaGazette