KUALA LUMPUR – Sebanyak enam premis yang dijadikan setor penyimpanan stok minyak wangi jenama tiruan yang dikendalikan oleh seorang individu secara haram terbongkar.
Ia terletak di sebuah bangunan di Jalan Lima, off Jalan Chan Sow Lin di sini dan dikesan dalam satu operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi itu melibatkan sebelas 11 pegawai penguat kuasa dari Putrajaya.
“Serbuan yang dilakukan adalah hasil daripada risikan selama hampir dua bulan oleh unit risikan kami. Enam premis berkenaan disewa oleh seorang individu dan hasil serbuan di premis-premis tersebut mendapati kesemuanya telah dijadikan tempat penyimpanan stok- stok minyak wangi tiruan pelbagai jenama.
“Turut sama dalam serbuan tersebut adalah waki -wakil dari pemilik cap dagang. Semasa serbuan, kerja-kerja pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak berjenama bagi tujuan pengedaran sedang jalankan oleh pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Iskandar Halim, soal siasat ke atas seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berumur 37 tahun dan 43 tahun di premis itu mengaku bertanggungjawab ke atas prbuatan itu.
Menurutnya, mereka telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.
“Berdasarkan keterangan, barangan tiruan tersebut diperoleh dari China dan setelah proses pembungkusan akan diedarkan kepada pemborong-pemborong di sekitar Lembah Klang dan juga melalui jualan dalam talian,” katanya.
Pemeriksaan hasil serbuan mendapati barang-barang tiruan tersebut merupakan sejumlah 33,272 unit minyak wangi pelbagai jenama seperti Burberry, Gucci, Victoria Secret,Tommy, DKNY, Jo Malone, Michael Kors dan pelbagai jenama lain yang disyaki suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. Dengan ini, pemilik premis disyaki telah melakukan suatu kesalahan dibawah ACD 2019.
Kesemua barang-barang tersebut telah di rampas untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 1,762,800.
Kata Halim Iskandar, kes disiasat di bawah seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakai secara salah.
Tegas beliau, jika disabit kesalahan seseorang boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Bahagian Penguat Kuasa memberi amaran kepada individu atau syarikat tersebut agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.
“Mana-mana individu mahu pun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.
Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif.- MalaysiaGazette
















