Seorang Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai lapan pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Selat pada bulan lalu akan didakwa di enam negeri berasingan pada 14 dan 16 Disember 2020.

Menurut sumber, masing-masing dua pegawai Imigresen akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan dan di Mahkamah Sesyen Johor pada Isnin ini.

Manakala masing-masing seorang akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan Mahkamah Sesyen Melaka pada hari yang sama.

Seorang daripada mereka pula akan dituduh pada Rabu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu.

Mereka bakal dituduh atas kesalahan menerima wang sogokan setelah memperakukan cap keluar dan masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar Malaysia.

Pada 16 November lalu, SPRM yang menjalankan satu operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara. -MalaysiaGazette