Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Dis — Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama melepasi paras psikologi pada 1,700, dan bersedia untuk melangkah ke tahun baru dengan pengembangan yang pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, sentimen positif dalam pasaran berjaya mengimbangi pengaruh pasaran yang lemah seperti penurunan penarafan oleh Fitch, data ekonomi yang tidak menggalakkan dan kejutan luaran.

Beliau berkata asas dalam pasaran tempatan mengukuh berikutan pelabur kini melihat Bursa sebagai pasaran selamat dengan pembetulan di Amerika Syarikat.

“Kami mempunyai optimisme untuk melihat pemulihan ekonomi, yang kukuh hingga Januari dan hakikat bahawa tiada reaksi segera (berikutan penurunan penarafan oleh Fitch) seperti yang dijangka oleh ramai pihak, yang amat baik.

“Itu menunjukkan kita mempunyai Bursa yang berdaya tahan dan kukuh. Kita tidak akan menyaksikan sebarang aliran keluar malah, aliran masuk yang besar dalam pasaran (minggu depan),” katanya kepada Bernama.

Mengenai prospek untuk baki tahun 2020, Nazri Khan berkata saham berkaitan infrastruktur, bank, pembinaan, hartanah dan syarikat telekomunikasi akan kekal tinggi.

Beliau tidak menjangka aktiviti pengambilan untung akan berlaku tidak lama lagi tetapi dijangka satu atau dua minggu selepas Krismas.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan lima hari berturut-turut dengan indeks utama mengakhiri minggu ini pada paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan – paras yang dilihat kali terakhir pada 4 Julai tahun lepas.

Petunjuk pasaran FBM KLCI meningkat 62.73 mata kepada 1,684.58 daripada 1,621.85 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Ia bermula minggu ini dengan lebih tinggi disokong oleh sentimen pasaran yang positif berikutan kelonggaran langkah-langkah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan jaminan bekalan vaksin COVID-19 di Malaysia pada tahun depan.

Peningkatan yang kukuh dalam Top Glove, CIMB dan Public Bank membantu menyelamatkan bursa tempatan daripada menyertai bursa serantau yang kebanyakannya pada aliran penurunan berikutan kebimbangan mengenai kes COVID-19 yang meningkat.

Belian dalam saham perbankan dengan jangkaan ekonomi akan mencatatkan prestasi yang baik pada tahun depan dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah, terus memacu FBM KLCI untuk mengakhiri minggu ini dengan lebih kukuh.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 344.99 mata kepada 12,085.71, Indeks FBMT 100 naik 354.78 mata kepada 11,848.74, FBM 70 menambah 120.46 mata kepada 15,370.01 dan Indeks FBM ACE meningkat 446.13 mata kepada 11,071.1.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah merosot 75.64 mata kepada 13,431.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 1,528.68 mata kepada 16,046.13, Indeks Perladangan naik 62.69 mata kepada 7,412.09 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 3.88 mata kepada 177.67.

Indeks Teknologi susut 0.74 mata kepada 66.4, Indeks Tenaga menambah 28.51 mata kepada 948.32 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 100.24 mata kepada 3,822.49 dipengaruhi oleh berita mengenai vaksin COVID-19.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 57.76 bilion unit bernilai RM31.32 bilion daripada 54.02 bilion unit bernilai RM31.40 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 35.93 bilion saham bernilai 25.03 bilion daripada 34.65 bilion saham bernilai 25.85 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran naik kepada 4.74 bilion unit bernilai RM821.83 juta daripada 3.72 bilion unit bernilai RM687.85 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 17.08 bilion saham bernilai RM5.45 bilion daripada 15.63 bilion saham bernilai RM4.85 bilion sebelum ini. – MalaysiaGazette