Oh Tong Keong ketika melawat penjaja di Pasar Bayan Baru, Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang diminta mengecualikan sewaan gerai penjaja dan pembayaran lesen penjaja selama enam bulan, dengan tujuan meringankan beban kehidupan penjaja.

Walaupun kerajaan negeri telah memberi bantuan dalam bentuk kewangan dan dikecualikan bayaran sewa selama empat bulan kepada penjaja di pusat makanan di bawah kerajaan tempatan dan swasta serta kedai kopi sebelum ini namun masih terdapat perniagaan sebilangan penjaja yang tidak dapat dipulihkan sungguhpun mereka dibenarkan berniaga.

Contoh yang jelas adalah pusat makanan di Persiaran Gurney, yang mana perniagaan mereka terjejas disebabkan kebanyakan pelanggan mereka adalah dalam kalangan pelancong.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, disebabkan krisis pandemik ini, bilangan pelancong yang mengunjungi tempat pelancongan itu telah berkurangan, sekali gus memberi impak yang besar kepada perniagaan mereka.

”Jangan kita lupa bahawa masalah harian yang dihadapi penjaja ini adalah sama dengan masalah yang dihadapi oleh golongan dari industri yang lain, contohnya penjaja juga perlu membayar pinjaman kereta dan pinjaman rumah.

”Selain itu, anak mereka mungkin juga kehilangan pekerjaan susulan daripada beberapa kilang di Pulau Pinang yang telah gulung tikar akibat kesan pandemik ini,” katanya.

Difahamkan terdapat juga penjaja yang telah habis menggunakan wang simpanan mereka dan kini meminjam duit dari pihak ketiga untuk meneruskan kehidupan mereka.

”Oleh itu, kami mencadangkan agar kerajaan negeri menawarkan lagi pengecualian sewaan gerai penjaja dan pembayaran lesen penjaja selama enam bulan. Pihak berkuasa perlu mengkaji semula kaedah yang dijalankan itu selepas enam bulan itu demi meringankan beban golongan penjaja.

”Memandangkan keadaan wabak Covid-19 di negara kita masih tidak stabil, maka adalah perlunya untuk kerajaan negeri mengkaji semula pakej bantuan yang telah dilancarkan sebelum ini, supaya membantu rakyat Pulau Pinang mengharungi cabaran ini,” ujarnya.

Oh juga berharap kerajaan negeri terus memberi rebat cukai pintu kepada penduduk Pulau Pinang dan tidak menaikkan kadar cukai tanah pada tahun depan untuk mengurangkan beban rakyat. – MalaysiaGazette