Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penunggang basikal dinasihatkan untuk mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Ir. Dr Khairil Anwar Abu Kassim berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan telah mengenalpasti beberapa intervensi keselamatan jalan raya daripada aspek kejuruteraan dan persekitaran jalan serta tingkah laku pengguna bagi membendung kemalangan jalan raya yang melibatkan penggungang basikal.

Antaranya ialah mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa dan kerajaan tempatan dalam memberikan pandangan serta cadangan terhadap pembinaan dan penambahbaikan lorong-lorong basikal bagi menggalakkan lagi penunggang basikal menunggang di kawasan dan tempat yang betul.

Selain itu, MIROS turut bekerjasama dengan institusi dalam dan luar negara dalam menjalankan kajian dan penilaian terhadap sikap dan keselamatan penunggang basikal di Malaysia serta sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk meningkatkan lagi keselamatan pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette