K
KUALA LUMPUR –  Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan permohonan lanjutan masa (EOT) oleh UEM Sunrise Bhd untuk mengumumkan sebarang hasrat bagi membuat tawaran pengambilalihan berhubung cadangan penggabungan dengan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld).

UEM Sunrise dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, SC telah meluluskan EOT sehingga 31 Jan, 2021, dengan UEM Sunrise dan EcoWorld akan membuat keputusan menjelang 2 Jan, 2021 sama ada untuk meneruskan perbincangan berhubung cadangan penggabungan itu.

“Sekiranya UEM Sunrise dan EcoWorld membuat keputusan untuk meneruskan perbincangan berhubung cadangan penggabungan itu, kedua-dua syarikat perlu bersama-sama mengemukakan permohonan lanjutan masa akhir berdasarkan garis masa yang dipersetujui oleh lembaga pengarah UEM Sunrise dan EcoWorld, pada tarikh yang terawal selepas 2 Jan, 2021 (tetapi selewat-lewatnya menjelang 15 Jan, 2021).

“Kedua-dua syarikat diminta membuat pengumuman bulanan bagi memastikan pasaran dimaklumkan mengenai kemajuan perbincangan itu dan aliran kerja yang dijangkakan untuk cadangan penggabungan sehingga masa perjanjian muktamad dimeterai, atau rundingan ditamatkan, diumumkan,” kata UEM Sunrise. – MalaysiaGazette