Speaker Azhar Azizan Harun Parliament Dewan Rakyat Covid-19 positive
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan pihaknya sengaja mengubah Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hadir ke Dewan Rakyat.

Azhar berkata, SOP sedia ada tidak diubah malah masih mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Saya tak ubah SOP cuma ikut SOP yang ditetapkan oleh KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Sebelum ini kita memberi sedikit kekangan kepada kehadiran ahli Parlimen ada yang mengatakan itu kita tidak beri peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk datang berdebat tapi saya rasa untuk undian itu kita membuat banyak kelonggaran dan benarkan semua masuk ke dewan dan ketiga-tiga itu bukan keputusan saya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (DAP-Bandar Kuching) yang yang mempersoalkan mengapa membenarkan tiga ahli Parlimen yang merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dibenarkan memasuki Dewan Rakyat.

“Kenapa ahli Parlimen yang terdedah kepada Covid-19 dibenarkan datang? SOP diubahsuai sebarang untuk membolehkan mereka datang ke Dewan Rakyat. Kalau tidak yakin untuk menang undi belanjawan datang bincang dengan pihak kami, terima nasihat dan input kami. Jangan ubah suai atau mereka-reka SOP yang bukan-bukan seperti ini,” tanya beliau.

Azhar juga berkata, ketiga-tiga mereka akan dibawa menaiki ambulans untuk memasuki Dewan Rakyat dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) penuh.

“Saya difahamkan pagi ini bahawa terdapat tiga orang yang meminta kebenaran untuk datang. Mereka akan dibawa oleh ambulan memakai PPE dan Kita telah sediakan satu bilik untuk mereka duduk dan apabila mereka mengundi mereka perlu memakai PPE yang baru dan mereka akan masuk ke Dewan Galeri melalui pintu dan undi akan diambil daripada mereka.

“Penghitung dan pemerhati terpaksa memakai topeng muka,” katanya lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran akan hadir ke Dewan Rakyat namun diarahkan memakai PPE lengkap.

Ketiga-tiga ahli Parlimen berkenaan kini menjalani proses kuarantin kerana menjadi kontak rapat individu positif Covid-19. – MalaysiaGazette