KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan tiga pengadil dari Malaysia akan bertugas di Maldives bagi mengendalikan perlawanan-perlawanan liga utama negara itu, Dhiraagu Dhivehi Premier League (DDPL).

Liga tersebut akan berlangsung selama dua bulan dan disertai oleh lapan pasukan. Namun, tempoh mereka bertugas boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan berdasarkan persetujuan kedua-dua badan induk itu.

“Ketiga-tiga pengadil ini telah menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19 sebelum mereka berlepas ke Maldives dan akan menjalani tempoh kuarantin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaik mereka pulang dari Maldives nanti.

“Undangan daripada Persatuan Bolasepak Maldives ini sebahagian usaha kerjasama FAM bersama persatuan bola sepak negara lain bagi memberi pengalaman antarabangsa kepada pengadil-pengadil tempatan terutamanya selepas pengurangan jumlah perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier serta pembatalan TM Piala Malaysia musim ini, selain sebagai persiapan menjelang musim baharu 2021,” kata FAM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara kerjasama FAM dengan persatuan bola sepak negara lain bagi tugasan pengadil ini, termasuk menghantar pengadil Malaysia bertugas ke Vietnam, Jepun, Bangladesh dan Timor-Leste sepanjang tahun lalu.

Unit Pengadil FAM akan memantau prestasi ketiga-tiga pengadil ini sepanjang saingan liga di Maldives itu bagi memastikan kualiti kepengadilan mereka sentiasa pada tahap terbaik. – MalaysiaGazette