KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini diberitahu FELDA telah menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan FELDA mula berhadapan dengan masalah kewangan sejak tahun 2013 ekoran kerugian dan kemerosotan pendapatan sebelum cukai.

“Bagi memastikan operasi harian dan komitmen perkhidmatan kepada warga peneroka berjalan dengan lancar, FELDA terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion secara keseluruhannya.

“Pada bulan September tahun ini, FELDA telah memaklumkan Kerajaan bahawa ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion,” katanya menjawab pertanyaan lisan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut).

Ahmad Nazlan mengutarakan persoalan apakah pelan perancangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memulihkan kembali aliran tunai dan juga hutang korporat FELDA.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, jumlah hutang yang tinggi itu antara lain disebabkan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada tahun 2012.

Langkah itu katanya mengakibatkan FELDA kehilangan sumber pendapatan yang penting serta harga kelapa sawit yang kurang memberangsangkan.

Justeru itu, beliau berkata, krajaan telah bersetuju untuk memberikan moratorium selama 2 tahun kepada FELDA untuk salah satu daripada hutangnya dan sebuah institusi lagi memberi FELDA moratorium selama enam bulan.

“Di samping itu, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan FELDA,” katanya.

Dalam pada itu ujar Mustapa, bagi memastikan FELDA mencapai kemampanan kewangan dan kelestarian, Jemaah Menteri pada 14 Oktober 2020 telah meluluskan pelan pemulihan FELDA.

Antara syor yang diluluskan adalah penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion di mana RM6.0 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang FELDA.

Tambah Mustapa, bakinya akan digunakan untuk meningkatkan pendapatan teras iaitu melalui pengambilalihan pegangan saham FGV serta melaksanakan penamatan Perjanjian Pajakan Tanah.

Mustapa juga berkata proses pemulihan FELDA dengan merangka Model Baharu FELDA.

“Sehubungan dengan ini, pihak pengurusan FELDA telah merangka Model Baharu FELDA yang berteraskan kepada penambahbaikan tadbir urus, operasi ladang yang lebih cekap, warga peneroka, pendidikan, R&D dan penggunaan teknologi serta keberkatan bagi memastikan FELDA berada di tahap yang lebih mandiri dan lestari.

“Bagi memastikan petunjuk prestasi utama yang ditetapkan dicapai, Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan FELDA telah ditubuhkan,” katanya lagi.

Jelas Mustapa lagi, langkah-langkah pemulihan tersebut di atas dijangka membawa hasil positif ke atas FELDA pada tahun 2023. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap ada CEO dari China yg diambil jaga Felda. Mcm Proton. Selagi puak puak politik dan kroni tempatan jaga Felda, belanja duit pandai tp nak cari duit sekoq pun tak reti. Sbb tu hutang sampai RM10 bilion.

Comments are closed.