Prof Dr Ismail Sualman

KUALA LUMPUR – Penubuhan ‘gagasan besar’ yang dicadangkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah idea yang baik jika ia bertujuan untuk menyelaraskan peranan dan tanggungjawab parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dalam melancarkan sistem pentadbiran kerajaan.

Penganalisis politik, Prof Dr Ismail Sualman berkata, gabungan parti yang tidak didaftarkan mempunyai isu yang berbeza dengan yang didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Sekarang PN hanya sekadar kerjasama biasa, tidak didaftarkan, tidak ada hitam putih. Oleh yang demikian banyak urusan membabitkan pentadbiran kerajaan kelihatan tidak lancar.

“Untuk memastikan tidak ada pertelagahan, perselisihan faham, tolak-menolak dalam membuat keputusan atau memutuskan keputusan sendiri dengan mengenepikan parti-parti lain disebabkan tidak ada kuasa penentu atau pemutus, maka pada saya wajar gagasan ini diwujudkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas mengenai cadangan pembentukan gagasan besar melibatkan gabungan PN, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), baru-baru ini.

Hamzah berkata, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh.

Malah, katanya, ia dapat mencerminkan keupayaan gagasan itu untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat pada masa hadapan.

Menurut Ismail, pembentukan gagasan besar ini membolehkan setiap keputusan, cadangan, pelaksanaan sesuatu keputusan dapat diterima dan tanggungjawab dapat digalas dan disertai secara bersama parti-parti di bawahnya.

Bagaimanapun, katanya, paling penting, setiap pemimpin yang mewakili parti perlu diberi nisbah, kuota, ruang dan peluang yang sama.

Dengan ini, pembentukan gagasan ini dapat meningkatkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan parti-parti politik yang di bawah PN.

“Penyatuan ini juga akan menjadikan PN satu jenama besar yang boleh memberi impak kepada arus politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette