Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia mempertimbangkan individu dalam pemerhatian (PUS) yang sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dipendekkan kepada 10 hari, seperti keputusan dasar yang dilaksanakan mulai hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh kuarantin wajib selama 10 hari yang dikenakan ke atas pengembara balik ke negara ini berdasarkan bukti saintifik iaitu tahap risiko yang rendah menerusi pemendekan tempoh tersebut.

“Kita akan meneliti terlebih dahulu isu logistik yang timbul dalam soal ini dan jika perlu menjalankan ujian hari kelapan dan kesembilan dan jika negatif barulah kita akan melepaskan pesakit Covid yang disahkan negatif itu pulang ke rumah pada hari ke-10,” katanya pada sidang media hari ini.

Berkuatkuasa hari ini, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

Menurut Dr. Noor Hisham, risiko memendekan tempoh kuarantin selama 10 hari masih terkawal jika dibandingkan pengurangan kepada tujuh hari.

Smentara itu, beliau mengesahkan kematian seorang pengawal keselamatan syarikat sarung tangan, Top Glove, semalam.

“Ya benar pengawal keselamatan Top Glove berusia 29 tahun yang berasal daripada Nepal meninggal dunia semalam di hospital.

“Dia mendapat jangkitan bergejala dan apabila dimasukkan ke dalam hospital, sudah terlewat dan dah masuk peringkat kelima.

“Dia dimasukkan dan dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), tetapi mengalami komplikasi paru-paru akibat jangkitan Covid-19 menyebabkan meninggal dunia,” katanya. – MalaysiaGazette