MCA
PRN Johor membawa cabaran bagi MCA untuk memastikan kemenangan kerusi yang ditandingi kelak.

RAUB – MCA kehilangan peluang untuk bertanding di dua kerusi Parlimen “tradisi” di Pahang apabila Muafakat Nasional membuat keputusan supaya Pas akan bertanding di Raub sementara UMNO akan bertarung di Kuantan.

Keadaan itu sekali gus bermakna satu-satunya kerusi Parlimen yang tinggal buat parti itu di Pahang merupakan Bentong.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Tee Lian Ker bagaimanapun berkata, partinya tidak akan melepaskan peluang untuk mendapat tiket untuk berlawan.

“Cabaran ini adalah sukar buat MCA, tetapi kami tidak akan terputus asa,” katanya dipetik Nanyang Siang Pau ketika menghadiri aktiviti pengagihan pelitup muka di Raub.

Menurut Lian Ker, MCA mengalami kekalahan dua kali berturut-turut di Raub dan pengundi Melayu dilihat sebagai “kingmaker” , keadaan itu seterusnya mendorong Muafakat Nasional mahu menyerah kerusi itu kepada Pas.

Katanya, calon berpotensi dari Pas juga sudah giat bergerak di Raub sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

Ditanya kemungkinan dirinya mewakili MCA di Raub sekiranya parti itu berjaya mendapat tiket bertanding, Lian Ker berkata, masih terlalu awal untuk mengulas perkara itu.

“Tugas saya sekarang adalah berkhidmat di Raub sebagai orang tempatan,” katanya yang juga merupakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara. – MalaysiaGazette