Gambar hiasan

KERAJAAN diminta memberi pertimbangan untuk meminda Akta Hasutan 1948 [Akta 15] bagi memastikan tiada sebarang usaha diambil oleh mana-mana pihak dalam negara  untuk mencadangkan atau memaksa pihak Kerajaan Malaysia  menjalinkan sebarang jenis
hubungan dengan Israel selagi perjanjian damai tidak dicapai antara pihak Palestin dan Israel. Ini susulan tindakan sebuah lagi negara Islam iaitu Maghribi yang mengumumkan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel baru-baru ini. Maghribi merupakan negara Islam ke empat yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas
pengumuman yang sama dibuat oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan beberapa bulan yang lalu. Selain daripada itu, negara Jordan dan Mesir juga adalah dua buah negara Islam yang telah lama menjalinkan hubungan dengan Israel.

Langkah yang diambil oleh beberapa buah negara Islam ini tidak boleh dipandang ringan
oleh semua negara Islam termasuklah Malaysia kerana ia dibimbangi boleh  mempengaruhi negara- negara Islam yang tidak mengiktiraf Israel untuk mengubah
pemikiran mereka serta mengikuti jejak langkah Maghribi, UAE, Bahrain, Sudan, Jordan dan Mesir untuk jalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Untuk rekod, terdapat 57 buah negara Islam d seluruh dunia pada ketika ini. Tindakan negara-negara Islam jalinkan hubungan diplomatik dengan Israel tanpa perjanjian damai dimeterai
dengan Palestin dibimbangi akan menjejaskan segala usaha untuk membantu rakyat Palestin.

Tidak banyak tindakan yang boleh diambil bagi membendung kesemua negara-negara Islam daripada menjalinkan hubungan dengan Israel, namun dalam konteks
Malaysia, kerajaan perlu memastikan dengan tegas  sebarang usaha untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel tidak boleh dilakukan. Syarat pendamaian
sebelum sebarang jenis hubungan dlakukan dengan Israel ini telah lama didukung oleh pemimpin negara kita. Namun, semua ini adalah sekadar kata- kata yang datang daripada mulut pemimpin kita sahaja. Kita tidak boleh pastikan apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Oleh itu, satu usaha yang lebih tegas perlu diambil oleh kerajaan Malaysia bagi memastikan negara kita tidak akan sesekali memberi pengiktirafan dan menjalinkan sebarang jenis hubungan dengan Israel selagi tiada pendamaian dicapai di antara pihak Palestin dengan Israel.

Antara usaha yang boleh diberi pertimbangan ialah dengan meminda peruntukan undang- undang sedia ada dalam negara kita bagi menghalang mana-mana pihak untuk mengemukakan sebarang usul ataupun cadangan bagi negara kita jalinkan sebarang jenis hubungan dengan Israel selagi pendamaian tidak tercapai antara Palestin dan Israel.
Antara peruntukan perundangan yang boleh dipinda adalah Akta Hasutan 1948 [Akta 15]. Akta Hasutan 1948 [Akta 15] adalah satu bentuk perundangan yang digubal untuk
menghalang perbincangan yang dikatakan sebagai menghasut. Akta Hasutan 1948 [Akta 15] ini menjadikan ucapan yang “mempunyai kecenderungan menghasut” sebagai suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara dan denda sekiranya disabitkan dengan kesalahan. Pada ketika ini, tiada peruntukan khusus yang
boleh melarang mana- mana pihak dalam negara kita daripada mengemukakan usul ataupun cadangan kepada pihak kerajaan untuk jalinkan hubungan diplomatik dengan
Israel. Pindaan boleh dilakukan terhadap Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 [Akta 15] ini bagi melarang mana-mana pihak dalam negara kita daripada mengemukakan usul
ataupun cadangan bagi negara kita menjalinkan sebarang jenis hubungan dengan Israel.

Sekiranya kita melakukan pindaan terhadap Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 [Akta 15],
kita dapat menghantar satu isyarat yang jelas kepada seluruh dunia bahawa Malaysia akan tetap kekal teguh bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin. Pada
masa yang sama, ia dapat membendung mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dalam negara kita daripada mengemukakan sebarang usul ataupun cadangan
yang boleh menggugat perasaan tidak puas hati dalam kalangan umat Islam dalam negara kita yang rata-rata menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin. Adalah penting untuk kita semua ketahui, sudah ramai rakyat Palestin yang telah menjadi mangsa kepada kekejaman dan penindasan oleh Israel termasuklah warga tua, kaum wanita dan golongan remaja dan kanak-kanak.

Pada masa yang sama juga, pihak Israel telah melanggar berpuluh- puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok pemisahan ditanah milik Palestin, serta
menafikan hak jutaan pelarian Palestin yang berada di sekitar negara – negara Arab untuk kembali ke tanah mereka sendiri. Daripada sibuk ingin mengadakan hubungan
dengan Israel, semua negara Islam harus bersatu melindungi rakyat Palestin daripada terus menjadi mangsa kekejaman dan penindasan Israel.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)