Datuk Zainuddin Yaacob. foto AFFAN FAUZI, 23 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati ketika melupuskan sampul surat atau bungkusan barang yang mengandungi maklumat peribadi bagi mengelakkannya disalahgunakan untuk tujuan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob berkata, polis mengesan insiden penipuan dengan menggunakan nombor telefon bimbit yang diperolehi daripada bungkusan yang dibuang.

Menurut beliau, suspek yang mendapatkan butiran peribadi dari bungkusan dibuang itu akan menghubungi dan mengganggu mangsa dengan nombor telefon yang berlainan bagi tujuan mendapatkan wang.

“Seterusnya suspek akan pergi ke rumah mangsa dengan menyamar sebagai pekerja syarikat penghantaran dan memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang berada di rumah untuk membuat pembayaran terlebih dahulu kerana barang yang dipesan belum dibuat bayaran lagi.

“Untuk meyakinkan penerima, kaedah yang digunakan suspek sama seperti pekerja syarikat penghantaran yang lain yang mana penerima perlu mengimbas kot bar sebelum barangan diserahkan sebagai bukti penerimaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata, pembelian secara atas talian kini menjadi trend masyarakat kerana ia menjimatkan masa dan harga yang ditawarkan lebih murah.

Berikutan itu, katanya, mereka membuat pembelian atas talian memberitahu ahli keluarga yang berada di rumah mengenai pembelian tersebut dan butir syarikat penghantaran dan status bayarannya.

“Bagi ahli keluarga yang berada di rumah pula, jangan sewenang-wenangnya membuat bayaran ke atas barangan yang dihantar sebelum mendapatkan pengesahan daripada ahli-keluarga yang membuat pesanan,” katanya. – MalaysiaGazette