ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Polis menahan dua individu warga tempatan yang disyaki mengedar ganja di kawasan Sungai Way dengan menggunakan kereta yang sewa menerusi aplikasi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menahan kereta yang dinaiki suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta itu berjaya merampas dua balutan plastik lutsinar mampatan daun kering disyaki ganja seberat dua kilogram dengan anggaran bernilai RM10,000 yang boleh dibekalkan untuk kegunaan 2,000 orang penagih.

“Suspek mengakui kereta itu disewa menerusi aplikasi mudah alih Socar dan menggunakannya untuk pengedaran dadah,’ katanya dalam kenyataan sambil menambah kedua-dua sumpek berumur 33 dan 34 tahun.

Menurut Nik Ezanee, suspek pertama terlibat dalam pengedaran ganja di kawasan itu manakala suspek kedua tidak membuatĀ  sebarang pengakuan.

Tambah beliau, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek memiliki tiga kes jenayah.

“Ujian saringan awal kedua-dua suspek positif ganja dan ditahan selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati, atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan,” katanya. -MalaysiaGazette