KUALA LUMPUR – Laman rasmi Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencapai sejumlah sejuta pengikut pada hari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran terbaharu Facebook baginda.

“Hari ini laman Facebook saya sudah mencecah satu juta pengikut. Terima kasih semua,” titah Sultan Ibrahim dalam Facebook Baginda.

Sementara itu Royal Press Office dalam kenyataan memaklumkan angka itu dicapai pada jam 8.37 pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mempunyai 898,159 likes pada waktu tersebut.

Daripada sejuta pengikut itu, 321,118 daripadanya adalah dari negeri Johor, diikuti Kuala Lumpur (103,745) dan Singapura (46,585).

Laman rasmi Facebook Sultan Johor yang mula beroperasi sejak 31 Mei 2015 turut menunjukkan majoriti pengikut Baginda adalah golongan lelaki (59 peratus) yang kebanyakannya dalam kategori umur 25-34 tahun (40 peratus).

“Selain itu, laman Facebook berkenaan memaparkan pelbagai pengisian yang berguna, di samping maklumat-maklumat tentang aktiviti serta program Sultan Johor bertujuan memaklum dan mendidik rakyat akan peranan baginda sebagai Sultan Johor.

“Pengisian dikongsi dalam bentuk berita, gambar serta video. Baginda juga mempunyai ikutan yang ramai di Instagram serta YouTube,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, populariti Sultan Ibrahim meningkat dari semasa ke semasa hasil perkongsian Baginda mengenai perihal rasmi serta perkongsian istimewa hobi-hobi seperti memasak dan bersukan.

“Halaman itu, bukan sahaja menyiarkan pelbagai aktiviti-aktiviti serta sumbangan mengenai Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor, malah menjadi ruangan yang membolehkan rakyat turut menyampaikan pandangan atau idea mereka,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette