FGV Transport Services Sdn Bhd (FGV Transport), anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) telah menerima pensijilan logistik halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk 76 buah lori tangki yang beroperasi di depot Pasir Gudang, Johor.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – FGV Transport Services Sdn Bhd (FGV Transport), anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV) telah menerima pensijilan logistik halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk 76 buah lori tangki yang beroperasi di depot Pasir Gudang, Johor.

Pensijilan logistik halal ini adalah bagi kategori Sistem Pengurusan Rantaian Bekalan Halal untuk pengangkutan. Ia merangkumi perkhidmatan pengangkutan produk cecair berasaskan sawit seperti minyak sawit mentah, minyak isirong sawit serta minyak sawit sudah diproses.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pengiktirafan dari JAKIM untuk kumpulan lori tangki pertama ini merupakan langkah awal dalam usaha mengembangkan segmen pengangkutan halal secara berperingkat.

Selain memenuhi peningkatan permintaan terhadap logistik halal, ia juga penanda aras ke arah mencapai pensijilan halal secara komprehensif bagi operasi perniagaan kumpulan di masa hadapan.”

Lori-lori tangki tersebut memperoleh pengiktirafan halal sesuai dengan standard kualiti yang ditetapkan Standard Malaysia MS2400-1:2010, yang mana setiap aspek Halalan Toyyiban dan amalan-amalan kebersihan dipraktikkan bagi menjamin status halal produk yang dibawa.

Empat lagi depot operasi FGV Transport di Kuantan (Pahang), Pelabuhan Klang dan Shah Alam (Selangor) serta Sahabat (Sabah) akan menjalankan proses-proses bagi memperolehi pensijilan logistik halal pada tahun 2021.

FGV Transport juga merancang untuk memperluaskan skop pensijilan logistik halal merangkumi lori tirai tepi (side curtain lorry) pada awal tahun hadapan bagi memenuhi permintaan pengangkutan halal untuk barangan pengguna cepat laris (FMCG) serta produk-produk halal yang lain.- MalaysiaGazette