Gambar hiasan.

Satu tangkap layar daripada komen pembaca Malaysia Gazette ketika sidang media bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah patut dijadikan renungan semua pihak terutamanya para pemimpin politik.

Pada saat orang besar-orang besar negara sedang sibuk mengatur pelbagai strategi dan “bertikaman” sesama sendiri untuk merampas kuasa, ada rakyat di bawah sedang menangis kelaparan, meminta supaya diberikan ruang untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Komen pembaca Malaysia Gazette ketika live sidang media Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 14 Disember 2020.

Tidak dinafikan ada pelbagai bantuan yang telah disediakan kerajaan tetapi berapa lamakah wang tersebut mampu menampung sepenuhnya perbelanjaan harian rakyat miskin?

Bak kata orang kampung penulis, “buat tambah-tambah, bolehlah” (wang tambahan daripada pendapatan sedia ada).

Sebenarnya apa yang rakyat perlukan adalah pekerjaan supaya mereka tahu esok pasti ada beras untuk dimasak dan bumbung untuk berteduh.

Mereka telah sehabis daya berusaha demi mencari sesuap nasi namun jika ekonomi terus mendung sebegini, apa lagi yang mampu dilakukan?

Kerajaan boleh berselindung di sebalik pandemik bagi menutup kelemahan mereka apabila ekonomi merosot dan peluang pekerjaan tertutup tetapi siapa di dalam Malaysia ini tidak tahu bahawa Perikatan Nasional adalah sebuah gabungan politik yang amat goyah serta memiliki majoriti yang terlalu kecil.

Selama 10 bulan memerintah, sudah beberapa kali cubaan menjatuhkan PN secara terbuka dilakukan oleh pelbagai pihak.

Malah, Belanjawan 2021 juga dijadikan “tebusan” untuk meruntuhkan PN kerana kerajaan hari ini terlalu lemah serta dipertikaikan keabsahannya.

Perkara ini tidak pernah berlaku sebelumnya kerana selama 60 tahun memerintah, Barisan Nasional mendapat majoriti kukuh malah Pakatan Harapan yang sempat hanya membentangkan dua belanjawan (2018 dan 2019) juga tidak menghadapi ancaman sebegini.

Belanjawan 2021 berjaya diluluskan hari ini pun menyaksikan kerajaan hanya mampu mengumpul 111 undi berbanding 108.

Arkib Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) memegang buku Belanjawan 2021 selepas selesai membentangkan Belanjawan 2021 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2020.

Dengan itu, mungkin sudah tiba masanya mandat dikembalikan semula kepada rakyat supaya sebuah kerajaan yang absah dapat ditubuhkan melalui pilihan raya.

Tidak dinafikan kes-kes Covid-19 masih terlalu tinggi dan khabar mengenai vaksinnya pun masih kabur.

Dan, pastinya kita tidak pernah lupa kepada pilihan raya negeri Sabah yang telah mencetuskan gelombang ketiga di negara ini namun kita juga seharusnya belajar sesuatu daripadanya.

Antaranya adalah ceramah umum, aktiviti meraih undi dan sebarang program melibatkan pertemuan fizikal atau bersemuka haruslah dilarang sama sekali.

Ini kerana tiada keperluan untuk calon-calon dan parti yang bertanding untuk bertemu pengundi semasa pilihan raya.

SOP hari pengundian juga boleh dikemaskan lagi bagi mengelakkan penularan wabak dan ini sudah tentu tidak terlalu sukar dilaksanakan kerana kita semua telah hampir setahun hidup bersama Covid-19.

Arkib Seorang pengundi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah. foto MOHD ADZLAN, 26 SEPTEMBER 2020.

Para pengundi atau rakyat telah lama memerhatikan gelagat ahli-ahli politik melalui pelbagai medium malah sidang Dewan Rakyat sendiri boleh diakses melalui saluran YouTube Parlimen.

Pastinya, rakyat telah lama membuat keputusan berdasarkan pernilaian mereka terhadap setiap gelagat, kenyataan, tindakan dan keputusan para ahli politik.

Semoga ia berjaya mengakhiri krisis politik yang sudah jelak untuk diikuti.

Telenovela beratus episod pun ada pengakhirannya, takkanlah drama politik Malaysia tidak kenal erti tamat? – MalaysiaGazette