Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ketiga-tiga Ahli Parlimen yang menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO)  akan hadir ke Parlimen pada sesi undian sahaja.

Azhar berkata, mereka tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana perdebatan.

“Kehadiran mereka untuk proses pengundian sahaja dan mereka akan diletakkan dalam bilik menunggu dan mereka diarahkan tunggu disitu, katanya menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar hari ini mahu tahu sama ada kehadiran ketiga-tiga Ahli Parlimen itu akan termasuk dalam jumlah pengundian.

“Apakah keputusan ini adalah arahan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Apakah buktinya dan apakah dengan arahan ini semua peraturan yang dikenakan umpamanya sekatan 80 orang Ahli Parlimen.

“Adakah kerusi itu termasuk dalam kerusi pengundian,” tanya beliau.

Jelas Azhar, kedudukan ketiga-tiga mereka ditempatkan di Galeri Awam dan boleh berada dalam galeri itu.

Kata Azhar lagi, pengenalan diri ketiga-tiga mereka akan disemak oleh bentara Dewan Rakyat dan dibawa bergerak ke dewan untuk mengundi.

Dalam pada itu, Azhar Azizan memaklumkan bahawa Datuk Seri Dr Adham Baba (PN-Tenggara) yang juga Menteri Kesihatan telah tamat perintah HSO hari ini dan boleh memasuki dewan seperti biasa.

“Dengan mengambil kira 10 hari HSO yang telah ditetapkan oleh KKM, saya telah dimaklumkan Ahli Parlimen Tenggara telah menamatkan HSO pada semalam dan beliau boleh kembali ke Dewan mulai hari ini,” katanya.

P. Prabakaran (PH-Batu) boleh memasuki Dewan mulai esok kerana telah tamat perintah HSO, hari ini manalaka Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan (PN-Tapah) pula akan mengakhir perintah HSO pada Khamis depan iaitu pada hari terakhir sesi dewan kali ini. – MalaysiaGazette