Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menggesa agar kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan pemberian sumbangan dalam bentuk kewangan kepada kerajaan negeri Kedah.

Gesaan itu katanya yang juga Timbalan Presiden Pas  disebabkan kerajaan Kedah telah menarik balik niat untuk meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda.

“Di atas pengorbanan besar Kerajaan Negeri Kedah, alangkah baiknya sekiranya Negeri Pulau Pinang yang mendapat manfaat banyak itu dapat menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Negeri Kedah yang telah berkorban untuk kawasan tadahan air bagi memastikan negeri-negeri yang memerlukan sumber air adalah terjamin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) yang meminta kerajaan menyatakan apakah tindakan dan perancangan kementerian itu bagi memelihara kawasan tadahan air Ulu Muda termasuk mengelakkan berlakunya insiden pencemaran di Sungai Muda.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengatakan bahawa dia boleh meminta orang kampung menyekat air dari Sungai Muda di negeri itu sekiranya kerajaan Pulau Pinang masih enggan membayar caj air mentah terbabit.

Kata-kata itu selepas Sanusi menegaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang tetap perlu membayar caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke negeri itu.

Kon Yeow sebelum ini berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan membayar caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun sebagaimana yang dituntut oleh kerajaan Kedah. – MalaysiaGazette