Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Gerik, Perak dan Bahagian Pilihan Raya Negeri Bugaya, Sabah., sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No. 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi (P.054) Gerik dan (N.66) Bugaya yang telah dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

”Dalam menyembah nasihat kepada Seri Paduka Baginda, Jemaah Menteri pada 4 Disember 2020 telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

”Mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum ini, Jemaah Menteri berpandangan kedua-dua PRK ini perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ancaman ke atas kehidupan ekonomi dan ancaman ketenteraman awam,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini.

Kedua-dua kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Hasbullah meninggal dunia pada 16 November lalu di Raub, Pahang akibat sakit jantung. Beliau memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), undian majoriti undian sebanyak 5,528.

Sementara itu, Manis Muka, 65, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu akibat masalah buah pinggang, pada 17 November lalu. Beliau mempertahankan kerusi DUN Bugaya itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN), pada 26 Oktober lalu dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Pada 27 November lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan, pada 4 Januari manakala 12 Januari sebagai tarikh mengundi awal.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, pada 15 Januari.

”Saya bagi pihak Jemaah Menteri menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette