Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bercakap pada sidang media mengenai perkembangan tangkapan jenayah oleh IPK Kuala Lumpur melibatkan empat kes jenayah yang berlainan sekitar Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Aktiviti mengedar dadah oleh bekas sepasang suami isteri akhirnya tumpas apabila polis menahan kedua-duanya dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM2.15 juta.

Tokan dadah yang berumur 66 dan 45 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Cheras pada 14 Disember lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

Ketika serbuan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, jumlah dadah yang dirampas itu boleh membekalkan kepada 39,000 orang penagih.

“Pada mulanya lelaki Cina ditahan di lobi tempat letak kereta di kondominium itu. Hasil siasatan lanjut pada hari yang sama 7.10 malam pihak polis ke sebuah unit kondominium itu dan menahan seorang wanita Cina warga tempatan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kotinjen Kuala Lumpur hari ini.

Turut dirampas wang tunai bernilai RM14,700 dan kereta jenis Toyota Vellfire.

Saiful Azly berkata, kedua-dua suspek dipercayai sudah beroperasi selama lebih kurang dua bulan sebagai pengedar dadah di sekitar ibu negara.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 20 Disember ini bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.