BNM
Bangunan Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5 juta daripada dana Kemudahan Teknologi Tinggi Bank Negara Malaysia (BNM) – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion.

“PKS boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta untuk tujuan modal kerja; sehingga RM5 juta bagi membiayai perbelanjaan modal; atau gabungan perbelanjaan modal kerja dan modal sehingga RM5 juta untuk tempoh sehingga 7 tahun.

“Kemudahan ini ditawarkan pada kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun untuk pinjaman tanpa jaminan atau sehingga 5 peratus setahun termasuk yuran jaminan (dengan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC),” kata BNM dalam satu kenyataan.

Kemudahan itu akan disediakan mulai 15 Disember 2020 hingga 31 Disember 2021, atau sehingga ia habis digunakan sepenuhnya (yang mana lebih awal).

HTF-NIA yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2021 adalah usaha untuk memberi bantuan tambahan kepada PKS yang terjejas akibat Covid-19.

“Kemudahan ini bertujuan menyokong PKS berteknologi tinggi dan berteraskan inovasi yang terjejas akibat Covid-19 untuk pulih dan menghidupkan semula kapasiti inovasi negara. Ini adalah penting bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia yang kompetitif dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi.

“PKS yang layak termasuk mereka yang berada dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi yang paling sejajar dengan matlamat yang ingin dicapai dalam pembangunan jangka panjang strategik kebangsaan seperti yang termaktub dalam NIA. Antara contohnya ialah perniagaan dalam industri sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta firma berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pembangunan teknologi baharu.

“Peserta projek PKS dalam program penting kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi untuk teknologi yang diberi keutamaan dalam rangka tindakan kebangsaan, daripada teknologi berkaitan IR4.02, teknologi hijau dan bioteknologi bagi memastikan kesinambungan dan penyiapan projek yang sedang berjalan,” kata BNM.

PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan yang terlibat, yang merangkumi bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM melalui laman web mereka atau dengan melawat cawangan mereka. – BERNAMA