Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razali Abu Samah (tengah) bersama pegawai menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media mengenai rampasan ganja di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 DISEMBER 2020.

SERDANG – Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja di sekitar Lembah Klang menerusi satu serbuan di kawasan perumahan Putera Permai, Seri Kembangan, kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis menemui dadah jenis tersebut yang diseludup dari Thailand seberat tiga kilogram dengan anggaran nilai RM20,000 yang boleh digunakan sekurang-kurangnya 400 hingga 500 penagih.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.45 malam itu, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Serdang telah bertindak selepas mendapat maklumat awam.

Katanya, pasukan berkenaan telah terlihat kelibat kedua-dua suspek yang ketika itu menaiki kenderaan jenis Volkswagen model Touran warna coklat berhenti di kawasan pemerhatian dalam keadaan yang mencurigakan.

“Salah seorang daripada suspek di dalam kenderaan itu telah keluar meninggalkan kenderaan manakala seorang lagi yang duduk di bahagian penumpang sebelah pemandu turut keluar dan kemudian masuk semula ke kenderaan itu.

“Curiga dengan keadaan tersebut polis telah menjalankan pemeriksaan di dalam kenderaan dan menemui balutan plastik lutsinar mengandungi susunan kemeja-T yang berlipat.

“Hasil daripada pemeriksaan ke atas plastik yang berisi baju-baju itu pasukan menemui tiga ketulan mampat dipercayai ganja yang dibalut dengan kertas aluminium,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Razali berkata, polis turut menemui satu botol plastik yang telah diubah suai untuk dijadikan alat bagi menghisap ganja.

Ujarnya, kedua-dua suspek yang berusia 21 hingga 26 tahun dan bekerja sebagai penjual pakaian bundle berjenama itu telah ditahan untuk tindakan lanjut serta menajlani ujian saringan air kencing.

Berdasarkan keputusan ujian saringan yang dilakukan salah seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja dan mengikut pemeriksaan rekod lampau pula hanya seorang daripadanya memiliki rekod berkaitan dadah, katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek turut mengaku ganja yang ditemui adalah milik mereka.

Selain ganja, jelasnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM653, telefon bimbit dan kenderaan yang kesemua sekali berjumlah RM70,000.

Menurut Razali, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek ditreman selama tujuh hari bermula semalam hingga 21 Disember ini.

Sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta 15 kali sebatan, tambahnya. – MalaysiaGazette