Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

KUALA LUMPUR- Kementerian Kewangan menafikan pengenalan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 dan pindaan tujuh akta yang terlibat di bawahnya adalah untuk menekan rakyat dan melindungi individu-individu tertentu.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, Belanjawan 2021 dirangka bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin dan bukannya untuk memberi tekanan kepada mereka terutamanya ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.

Tegasnya, ini dapat dilihat melalui had potongan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan dinaikkan kepada RM8,000 berbanding RM6,000 di samping meluaskan skop potongan melalui pemvaksinan dan sebagainya.

“Ia bukan untuk selamatkan individu-individu tertentu. Kita buat (Belanjawan 2021) untuk kebajikan rakyat.

“Sesiapa yang berhutang (pembayaran cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau sesiapa yang perlu bayar cukai, kena bayarlah.

“Soalan Jelutong (RSN Rayer) tiada kaitan dengan pembentangan ini,” jawabnya ketika sesi perbahasan pembentangan Rang Undang-Undang Kewangan 2020 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd. Shahar menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mahu memastikan pindaan terhadap akta-akta berkaitan RUU Kewangan 2020 itu tidak dilaksanakan bagi menyelamatkan individu-individu tertentu terutamanya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai isu tunggakan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion.

Shahar hari ini membentangkan pengenalan kepada RUU Kewangan 2020 dan skop pindaan-pindaan Akta yang terlibat di bawahnya iaitu Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.