Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin. Foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan anggota polis dari Kontinjen Kuala Lumpur diberkas akibat perbuatan salah laku jenayah.

Mereka yang berumur 29 hingga 58 tahun itu ditahan antara 25 November hingga 8 Disember yang lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, tangkapan dibuat berdasarkan laporan yang diterima.

“Antara salah laku yang dilakukan termasuk pemerasan, ugutan jenayah dan terlibat dalam sindiket penglibatan dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) KL hari ini.

Daripada sembilan anggota polis yang ditahan, salah seorang didapati tidak hadir tugas selama 24 hari berturut-turut.

Anggota polis itu kemudian dikenakan tindakan mengikut Seksyen 86 Akta Polis 1967 iaitu pembolosan.

Katanya lagi, kesemua suspek sudah dituduh di mahkamah baru-baru ini.-MalaysiaGazette