Abdul Ghani Salleh.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akur dengan keputusan dan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membatalkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah selepas diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan dengan pengisytiharan ini juga apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak dan DUN N.66 Bugaya, Sabah tidak akan diteruskan dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut, kata pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

Kedua-dua kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

SPR sebelum ini telah menetapkan tarikh penamaan calon ditetapkan, pada 4 Januari manakala 12 Januari sebagai tarikh mengundi awal.

Manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, pada 15 Januari.

Agong isytihar darurat di Parlimen Gerik, Bugaya