Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bercakap pada sidang media mengenai perkembangan tangkapan jenayah oleh IPK Kuala Lumpur melibatkan empat kes jenayah yang berlainan sekitar Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Polis sehingga kini masih menunggu laporan keadaan mental seorang lelaki warga Nigeria yang didakwa mencampak cucu tirinya dari tingkat empat baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis juga masih menunggu laporan forensik dan laporan kimia mengenainya.

“Dalam siasatan kita menunggu laporan kimia, forensik jadi kena sabar,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kotinjen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kejadian pada 29 November lalu, seorang lelaki Nigeria berusia 42 tahun itu ditangkap selepas didakwa mencampak cucu tirinya di sebuah pangsapuri di Setapak.

Suspek itu dikatakan mempunyai masalah mental.

Dalam pada itu, Saiful Azly juga memaklumkan lelaki berkenaan telah dituduh di mahkamah baru-baru ini dan kes itu disiasat di bawag Seksyen 302. Seksyen 307, dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gagal rogol anak tiri, warga Nigeria campak cucu hingga maut