Joe Biden. foto Reuters

WILMINGTON, Del./WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan menerima vaksin Covid-19 seawal minggu depan kerana pihak berkuasa sedang cuba meningkatkan keyakinan awam dalam memerangi pandemik, kata pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Manakala Naib Presiden, Mike Pence pula bakal menerima vaksin pada Jumaat, kata White House.

Kedua-dua pemimpin negara itu akan menerima suntikan vaksin secara terbuka sebagai usaha untuk merangsang keyakinan terhadap keselamatan vaksin baharu tersebut.

Vaksin Covid-19 akan tersedia kepada orang awam pada tahun depan, lapor Reuters.

“Saya tidak mahu membuat kenyataan yang keterlaluan tetapi saya mahu menunjukkan kepada rakyat AS bahawa vaksin ini selamat,” kata Biden dalam satu majlis pada Rabu.

Biden,78, diletakkan dalam kategori berisiko tinggi Covid-19 berikutan usianya.

Dalam pada itu, Presiden Donald Trump akan menerima suntikan vaksin tersebut sebaik sahaja pasukan perubatan beliau menentukan masa yang terbaik, kata Setiausaha Akhbar White House, Kayleigh McEnany pada Selasa.

Trump pernah dimasukkan ke hospital selepas disahkan positif Covid-19 pada musim luruh yang lalu.

Dos awal vaksin Covid-19 yang tersedia di AS pada minggu ini telah diperuntukkan kepada doktor, jururawat, petugas barisan hadapan perubatan lain serta residen dan pekerja rumah orang tua dan pegawai-pegawai kerajaan. – Agensi