Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mambaca ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2020, sekali gus membolehkan peruntukan tambahan berjumlah RM20 bilion disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tujuan utama kerajaan membentangkan RUU Penyakit Koronavirus (Pindaan) 2020 ke Dewan Rakyat hari ini bagi untuk menaikkan siling Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion iaitu daripada RM45 bilion kepada RM65 bilion berdasarkan keperluan semasa.

Katanya, tindakan berkenaan selari dengan desakan Ahli Parlimen supaya kerajaan menaikkan peruntukan tambahan bagi menangani Covid-19 dari RM20 bilion diluluskan Dewan Rakyat, sebelum ini kepada RM45 bilion.

“Kenapa kerajaan tidak menaikkan peruntukan tambahan kepada RM45 bilion? Pertama Peruntukan wang COVID-19 sebanyak RM45 bilion dan bakal ditambah RM65 bilion adalah suntikan fiskal langsung.

“Kita harus ingat pakej rangsangan adalah bernilai RM305 bilion manakala Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion. Jumlah ini termasuklah sumbangan pelbagai sumber termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), GLC dan agensi kerajaan, skim jaminan dan insentif percukaian.

“Saya menekankan perkara ini kerana usaha melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memulihkan ekonomi membabitkan sektor awam, swasta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sendiri yang harus dilihat secara keseluruhannya,” katanya ketika membentangkan pindaan RUU Covid-19 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata, di samping inisiatif di bawah Belanjawan 2021 bermula tahun depan masih ada bantuan lain disalurkan kerajaan menerusi Pakej PRIHATIN, PENJANA, Program Subsidi Upah (PSU), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan banyak lagi yang masih berjalan.

Beliau berkata, faktor ketiga adalah keperluan kerajaan mengimbangi disiplin fiskal dan keperluan semasa serta ruang untuk menambah pakej rangsangan pada masa depan.

“Tambahan RM20 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19 ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM65 bilion tidak akan melanggar had statutori hutang kepada 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2021.

“Pendirian kerajaan dalam isu ini adalah jelas dan kosisten seperti saya sebutkan sebelum ini bahawa kerajaan sentiasa memantau situasi semasa dan jika ada keperluan kerajaan akan teliti keperluan menambah peruntukan untuk Kumpulan Wang Covid-19 dari semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, peruntukan tambahan tersebut penting bagi membolehkan kerajaan memberikan sokongan berteruskan kepada petugas barisan hadapan dan agensi kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19. – MalaysiaGazette