khairuddin
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memandang serius pelanggaran Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) membabitkan kemudahan kediaman pekerja asing oleh beberapa syarikat sarung tangan getah dan perabot.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, syarikat-syarikat terbabit didapati tidak mematuhi peraturan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

“Pematuhan terhadap akta berkenaan amat kritikal bagi sektor perladangan dan industri komoditi untuk meyakinkan pihak antarabangsa bahawa kerajaan Malaysia serius dalam usaha menangani isu buruh paksa serta buruh kanak-kanak yang didakwa berlaku di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin menyeru semua pihak yang terbabit dalam sektor tersebut supaya sentiasa patuh kepada undang-undang termasuk yang berkaitan dengan Akta 446 bagi memastikan kebajikan pekerjasentiasa dititikberatkan.

Akta 446 bertujuan untuk menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas rumah dan pekerja selain elemen keselamatan serta kebersihan yang perlu diberi perhatian oleh majikan.

“KPPK dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan akan terus menyokong serta membantu sektor perladangan dan industri komoditi dalam mengamalkan sistem perburuhan yang baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette