Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan inisiatif diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP) dalam usaha membantu komuniti peniaga terjejas akibat Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha tersebut diambil oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang merupakan agensi di bawah kementerian berkenaan.

Katanya, ada antara keputusan yang dibuat oleh SSM sama seperti diputuskan oleh Kementerian Kewangan iaitu kaedah moratorium di mana peniaga boleh menangguh pembayaran tertentu seperti kompaun dan sebagainya.

Ada juga bayaran-bayaran tertentu yang perlu dibuat oleh peniaga ditangguhkan dan semua itu dibuat bagi meringankan beban kepada golongan berkenaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, ujarnya.

Tambah beliau, apa yang dibuat oleh pihak kementerian bagi memastikan kelangsungan perniagaan dapat diteruskan dan berkemungkinan ia turut melibatkan kementerian-kementerian lain.

“Kami akan bermesyuarat bersama mencari isu merangkumi beberapa buah kementerian. Masalah ini adalah jelas bukan hanya kepada satu kementerian sahaja.

“Apa sahaja yang menjadi masalah kepada komuniti peniaga kita akan cuba mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Menurut Alexander, sebarang masalah yang tidak dapat diselesaikan akan dibawa ke peringkat mesyuarat Jemaah Menteri untuk diambil tindakan.

Semua itu dibuat bagi meringankan beban komuniti peniaga terbabit.

Sementara itu, beliau memberitahu, masalah yang dihadapi pengguna juga tidak dipinggirkan apabila pihaknya turut mengambil langkah membantu pengguna menerusi beberapa kaedah berasaskan subsidi.

Katanya, meskipun bukan semua keperluan pengguna mempunyai subsidi namun sebahagian daripadanya yang dikategorikan sebagai barang bersubsidi ia sudah memadai daripada jika tidak diberikan subsidi.

Tambah beliau, kementerian cuba sedaya upaya untuk menetapkan harga yang murah kepada pengguna mengikut ketentuan sesuatu jenis barang melalui penstabilan harga barang dan semua itu adalah bagi meringankan golongan berpendapatan rendah. – MalaysiaGazette